Friday, December 4, 2009

~REMINDER~

Telah banyak berlaku dan telah ramai yang tahu berkenaan hubungan lelaki dan wanita secara bebas di mana-mana. Bukan sekali dua kita dengar isteri atau suami yang melakukan kecurangan dengan rakan sekerja akibat daripada pergaulan bebas.


“Kami tidak berbuat apa-apa”, itulah slogan utama menghalalkan hubungan lelaki dan wanita yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan jalan pernikahan. 


Allah SWT befirman : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Ar-Rum: 21)


Dijadikan oleh Allah SWT akan sunnah perkahwinan itu sebagai satu-satunya jalan untuk membolehkan lelaki dan wanita saling bemesra dan berkasih-kasihan serta bersenang hati dan bukan selainnya.


Hal ini jelas di sebutkan oleh Allah SWT : “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra : 32)


Larangan berzina bukanlah hanya pada perbuatannya tetapi termasuk seluruh jalan yang boleh membawa ke arahnya. Namun malangnya syaitan itu menghiasi jalan kejahatan dan mengaburi mata manusia sehingga perhubungan haram itu menjadi senang dan memudahkan serta menyenangkan.


Kita lihat hari ini lelaki dan wanita senang bersenda gurau dan mudah bermesra walau tanpa melalui perkahwinan. Melalui pelbagai cara sehinggalah di tempat kerja, di pusat pengajian, di medan-medan perniagaan, di dalam kehidupan realiti dan juga di alam maya.


Suami orang bersenda gurau dengan isteri orang atau dengan anak gadis tanpa ada rasa malu atau segan sehingga kadang-kadang timbul persoalan iaitu di manakah sifat cemburu mereka ?


Sifat Cemburu adalah Wajib dimiliki oleh orang yang beriman kerana lawan perasaan cemburu yang disebut sebagai (ghirah) ini adalah dayus dan hukumnya ialah haram serta berdosa besar.


Ini berdasarkan sabda nabi SAW yang bermaksud

“Sesungguhnya Allah itu cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila seseorang hamba itu melakukan apa yang diharamkan oleh Allah.” (Hadis Muttafaq 'Alaihi)


DI dalam Kitab Tuhfatul Ahwazi ada menyebutkan bahawa cemburu itu adalah bermaksud seorang lelaki itu melindungi isterinya dan ahli keluarganya daripada ditemui dan dilihat oleh lelaki bukan mahram.


Maka hendaklah kita mengembalikan umat Islam kepada penghayatan Islam seperti yang dituntut oleh Allah SWT dan rasulnya serta menjauhi takwilan-takwilan mereka yang jahil dan dibesarkan di dalam suasana rosak sehingga menganggap pergaulan bebas dan kerosakkan akhlak hari ini adalah sebagai lumrah yang biasa.


Ada ramai orang sebegini yang merasa tidak bersalah dan tidak mengapa kaum wanita itu bebas bercampur gaul mesra dengan kaum lelaki. Islam ini agama yang memudahkan dan jangan mempersulitkan lalu hasil kerana kejahilan dan takwilan salah mereka terhadap perkara syarak menyaksikan kerosakkan demi kerosakkan yang dilakukan di atas nama Agama.


Berapa ramai pendakwah yang hanyut di atas nama cinta ? Berapa ramai ahli agama yang tersangkut dengan isteri orang dan suami orang ? Juga jangan dilupa bahawa yang kerap kali menggunakan agama untuk kepentingan mereka ialah juga golongan agama termasuk mereka yang bergelar professional agama.


Namun apa boleh buat, mereka tidak merasa bersalah.


Rasulullah SAW pernah bersabda : "Sesungguhnya diantara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama ialah "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka." (hadis riwayat Bukhari no. 5769
)